Perbezaan Antara Kelas Tuisyen Personal vs Tuisyen Beramai – Siri 2

Baik, kali ini saya ingin membincangkan mengenai bilangan pelajar dalam satu-satunya kelas tuisyen.

Saya meletakkan ia dalam 3 kategori :
i – tuisyen beramai-ramai di pusat tuisyen (biasanya melebihi 10 pelajar).
ii – tuisyen grup kecil ; dalam 2-5 pelajar di rumah pelajar ataupun bilik kecil.
iii – tuisyen personal 1-to-1 di rumah pelajar.

Ini adalah termasuk tuisyen online dan bersemuka. Anda boleh lihat video perbandingannya di sini .

Kategori 1 : Tuisyen Beramai-ramai di Pusat Tuisyen

Kelebihan Pusat Tuisyen

Kelebihan 1 : Murah

Ini merupakan pilihan utama kebanyakkan ibubapa kerana i) harganya yang mampu milik, dan ii) ada pelbagai subjek yang dipakejkan sekali, menjadikan harganya lebih rendah.

Kelebihan 2 : Mudah Dipercayai

Dengan adanya papan tanda, lesen perniagaan serta premis fizikal ; membuatkan anda percaya pusat ini benar-benar beroperasi.

Kelebihan 3 : Pelbagai Pilihan Subjek

Variasi subjek dan tutor menyebabkan anda boleh memilih mana-mana gabungan subjek yang diperlukan.

Kekurangan Pusat Tuisyen

Kekurangan 1 : Tidak Dapat Perhatian Khusus

Cikgu tidak dapat fokus sepenuh pada mana-mana pelajar yang mungkin memerlukan perhatian khusus. Jika pelajar lemah, tidak sesuai dalam persekitaran sebegini.

Kekurangan 2 : Padat Dengan Jadual Tuisyen

Pilihan pelbagai subjek dan pakej membuat pelajar sibuk dengan kelas tuisyen yang banyak. Sepatutnya pelajar memilih satu-dua subjek yang diperlukan sahaja ; tapi oleh kerana pakej , mereka terpaksa memilih lebih banyak subjek, walaupun mungkin tidak perlukan.

Kekurangan 3 : Sukar Untuk Fokus

Ramai pelajar lain, membuatkan pelajar sukar untuk fokus sepenuhnya. Gangguan ini termasuk kelas bising, atau kehadiran kawan sendiri, mahupun jurang dan jarak yang jauh dengan cikgu itu sendiri.

Kategori 2 : Tuisyen Personal 1-to-1

Kelebihan Tuisyen Personal

Kelebihan 1 – Perhatian Sepenuhnya

Semestinya, ini adalah kelebihan utama, dimana cikgu hanya berdepan pelajar seorang – jadi segala ketidakfahaman sepatutnya tidak berlaku.

Tutor berpengalaman akan memahami pelajar, dan mengajar mengikut tahap pelajar itu sendiri.

Kelebihan 2 – Jadual Fleksibel

Oleh kerana tiada pelajar lain dalam kelas personal, jadual boleh ditukar ikut kemahuan pelajar.

Ini bermakna, tiada kelas tertinggal, tapi disaran­kan kelas seminggu sekali.

Dan seboleh, beritahu tutor 24 jam sebelum kelas, bukannya 5 minit jika mahu menunda kelas.

Kelebihan 3 – Boleh Pilih Topik Sendiri

Pelajar boleh memilih mana-mana topik yang dirasakan lemah, ataupun topik yang memasuki ujian.

Malahan boleh lompat topik yang belum dipelajari lagi. Terpulang kepada pelajar.

Jika tak tahu pun, tutor boleh tentukan topik mengikut kelemahan pelajar, ataupun topik penting untuk peperiksaan.

Kekurangan Tuisyen Personal

Kekurangan 1 : Harga yang Tidak Murah

Berbanding dengan tuisyen beramai-ramai, yuran tuisyen personal boleh mencecah 5X ganda atau lebih.

Biasanya kadar diberikan adalah RM 50 sejam (minimum), dan boleh mencecah ratusan dalam sebulan .

Kekurangan 2 : Sukar mencari Tutor yang Bagus

Tutor yang bagus, bukan saja harganya lebih tinggi, malahan jadualnya juga sering penuh.

Dan biasanya juga , tutor bagus ini tidak dapat dicari di internet ; mereka biasanya di rekomen dari mulut ke mulut.

Kekurangan 3 : Tiada jaminan Kejayaan

Sebenarnya, semua jenis tuisyen pun tidak menjamin kecermelangan anak-anak. Kita hanya mampu berusaha.

Cuma oleh kerana tuisyen personal lebih mahal ; tinggi pelaburan anda , semestinya ibubapa mengharapkan hasilnya lebih baik berbanding tuisyen beramai­-ramai.

Tiada jaminan, ia bergantung kepada keserasian pelajar dengan cikgu ; tahap penerimaan pelajar, serta cara dan pengalaman cikgu.

Alternatif lain : Grup Kecil

Grup kecil adalah titik pertengahan antara tuisyen beramai-ramai dan personal.

Anda mengambil tutor personal, dan bahagikan yurannya dengan pelajar lain .

Tips untuk Grup kecil

  1. Pastikan pelajar tidak terlalu ramai , antara 2 – 5 pelajar per sesi.
  2. Adakan di salah satu rumah pelajar yang selesa dan luas.
  3. Sediakan grup WhatsApp bersama tutor dan semua pelajar untuk menentukan i)jadual, ii) topik, dan iii)yuran.
  4. Pelajar yang menjadi hos , disarankan menyediakan papan putih bergerak untuk memudahkan pembelajaran.

Kesimpulan

Saya sarankan mula dengan tuisyen beramai-ramai di pusat tuisyen , kerana pilihan ini yang paling murah dan mudah.

Jika ada kemampuan , boleh terus ambil kelas t.to – 1 .

Jika terasa berat , boleh buat kelas grup kecil sepertimana saranan di atas .

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *